Ketua jurulatih TNB Thunderbolt, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menggesa pasukan-pasukan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2019 agar mengelakkan mentaliti subsidi berikutan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hanya menawarkan RM3,000 untuk setiap pasukan.

Situasi itu mendorong setiap pasukan supaya mencari penaja sendiri atau mereka akan berdepan masalah dalam saingan yang akan bermula 22 Jun ini.

TNB Thunderbolt contohnya sudah membuat persiapan sejak akhir tahun lalu untuk mengumpul dana.

Mereka menghantar empat pasukan, iaitu SSTMI Thunderbolt, SSTMI Juniors, Majlis Sukan Pahang Thunderbolt dan Abderson Thunderbolt.

"Kami bekerjasama dengan mana-mana syarikat di peringkat negeri, termasuk sekolah, untuk mendapatkan dana.

"Perkara ini perlu dilakukan awal, mungkin enam bulan sebelum saingan bermula," kata Nor Saiful.

Ini kerana kos operasi untuk sebuah pasukan Liga Hoki Remaja sekurang-kurangnya mencecah RM40,000.

Malah, cabaran lebih sukar berikutan pasukan perlu bertandang ke Kota Kinabalu untuk menghadapi Sekolah Sukan Malaysia Sabah Resilient, musim ini.

KHM sedang mengkaji subsidi tambahan berbanding bantuan tetap RM3,000, terutama buat pasukan yang perlu ke Sabah.

"Kita perlukan pembabitan daripada negeri di luar semenanjung Malaysia, iaitu Sabah dam Sarawak, kerana saingan ini merupakan program pembangunan.

"Ramai pemain dari Sabah yang mempunyai pengalaman, jadi kita perlu bantu mereka dalam Liga hoki Remaja," ujarnya lagi.