Pemenang Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 terpaksa menangguhkan pembayaran bonus pemain apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih belum melunaskan wang hadiah kemenangan dalam saingan yang tamat Mac lalu.

Kelewatan mendapat wang hadiah kemenangan LHM 2019 mengundang persoalan kepada barisan jurulatih dan pemain tatkala penantian sejak Mac lalu masih belum terjawab walaupun sudah melaksanakan tugas di atas padang.

Kesannya lebih dirasai pemain yang tidak mewakili skuad kebangsaan kerana mereka hanya bergantung kepada kelab untuk kelangsungan hidup.

"Kami sebagai pemain masih menunggu wang kemenangan itu bagi pihak pengurusan menyelesaikan masalah. Ia penting untuk perbelanjaan kami, terutaman buat pemain yang tidak beraksi bersama skuad kebangsaan, sekali gus mengharapkan wang daripada kelab," kata penyerang UniKL, Hafiz Zainol.

"Wang untuk dibelanjakan dalam kehidupan, itu yang penting. Kelab tiada masalah untuk membelanjakan wang kerana mengikut sistem penggajian pekerja. Setiap kali semua staf menerima gaji, pemain juga menerimanya," tambah ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Wang hadiah kemenangan LHM 2019 melibatkan jumlah RM400,000 dan situasi itu berbeza dengan Liga Hoki Wanita Malaysia yang tamat Februari lalu yang sudah mendapat wang hadiah kemenangan.

Sementara itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, mengesahkan pembayaran wang hadiah kemenangan masih belum dibuat.

Badan induk itu sedang menunggu dana daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas membelanjakan RM600,000 untuk menghantar skuad wanita berlatih di Eropah dan menyertai saingan Siri Akhir FIH di Ireland.

"Sekarang, keutamaan kami adalah melangsaikan wang LHM dan saya sudah meminta bendahari meneruskan proses itu. Dalam tempoh dua minggu, kami akan adakan mesyuarat kewangan. Paling lewat, insya-Allah akan selesai dalam tempoh tiga minggu," katanya.