Pendahulu Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019, UniKL tidak rela kempunan di laman sendiri apabila bakal melayani kunjungan juara Piala Sumbangsih, Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Tengku Abdullah, esok.

UniKL dalam momentum terbaik apabila masih unggul meneruskan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan berturut-turut.

Mereka kini memimpin carta liga dengan 16 mata, apatah lagi perlawanan terakhir menentang Maybank semalam menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj itu mengganas dengan membelasah Maybank 5-1.

Namun, menjelang pertemuan dengan THT, Arul bukan sahaja mengintai tiga mata bagi meneruskan penguasaan liga, malah sebagai misi balas dendam setelah mereka kempunan untuk meraih Piala Sumbangsih pada awal musim ini apabila dinafikan THT menerusi penalti shoot out.

"Kami akan menghadapi perlawanan esok seperti biasa.

"Kalau memberi fokus satu persatu perlawanan dan kami mengekalkan rentak kemenangan, maka kami akan kekal di tangga teratas," kata Arul.

Di kem THT, mereka mengakui perlawanan esok seperti final kerana bakal menentukan kedudukan dalam carta pendahulu liga.

Bagaimanapun, THT boleh bergantung harap kepada pakar pukulan sudut penalti, Jang Jong-hyun, yang kini sudah meledak 11 gol untuk menerajui senarai penjaring terbanyak.

"Kami mempunyai pemain tersendiri yang boleh memikul tugas berdepan UniKL.

"Saya percaya dengan kemampuan pasukan sendiri, apatah lagi keupayaan berpasukan lebih penting daripada individu," ujar jurulatih THT, I. Vickneswaran.