Penyerang skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, meminta rakan sepasukannya supaya tidak mendabik dada dalam pemburuan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini selepas mereka menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, semalam.

Kemenangan keenam itu meletakkan UniKL kekal sebagai pendahulu LHM dengan 19 mata dan berkelebihan satu mata ke atas pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Realitinya, UniKL menewaskan salah satu daripada dua pencabar utama mereka musim ini, sekali gus meletakkan mereka selangkah menghampiri kejuaraan liga.

"Amat penting untuk kami melaluinya dari perlawanan ke perlawanan.

"Saya tidak pernah menjangkakan kemenangan ke atas pasukan sebesar itu.

"Adakalanya apabila menentang pasukan bawahan, mereka juga mampu beraksi baik.

"Kami akan terus fokus untuk menghadapi setiap perlawanan, terutama apabila menentang TNB.

"Jika kami mampu menewaskan mereka, kami berpeluang cerah untuk menjuarai liga musim ini," katanya.