Saingan Liga Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 bersambung hari ini dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kelab Hoki Terengganu (THT) dan Maybank cemerlang mengutip tiga mata penuh selepas tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan masing-masing.

Keputusan hari ini juga menyaksikan berlaku perubahan dalam kedudukan liga di mana dua tangga teratas dihuni oleh THT yang berkongsi tujuh mata dengan UniKL, namun perbezaan jaringan meletakkan THT di puncak dan UniKL di kedudukan kedua sementara TNB di tangga ketiga dengan enam mata.

Aksi yang menemukan THT dengan Nur Insafi/Kedah Hockey di Stadium Hoki Batu Buruk menyaksikan THT membenam cabaran lawan mereka 6-1 hasil jaringan hatrik Jung Manjae pada minit ke-14, 23 dan 31 sementara Jang Jonghyun menyumbang dua gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ketujuh dan 15 selain Faizal Saari melengkapkan gol kemenangan buat THT pada minit ke-48.

Nur Insafi/Kedah Hockey bagaimanapun berjaya untuk mencuri gol sagu hati pada minit kesembilan hasil gol padang Joel Samuel Van Huizen.

Pengendali THT, I. Vikneswaran, ketika dihubungi nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya apabila taktikal yang cuba diterapkan berjaya untuk dilaksanakan dengan baik oleh pemain-pemainnya.

“Pemain telah menunjukkan satu corak pemainan yang baik hari ini di mana kami mencuba taktikal yang baru dan pemain berjaya untuk menerapkan taktikal tersebut pada aksi hari ini dengan hasil yang telah dicapai.

“Cuma apa yang saya mahukan ialah penambahbaikan dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya kerana ia merupakan satu proses yang akan terus dijalani.

“Berada di kedudukan teratas liga dengan kemenangan hari ini, bagi saya, ia hanya kedudukan semasa dan saya mahu pemain kekal fokus dengan apa yang kami mahu lakukan kerana apa yang penting adalah kedudukan di penghujung liga nanti,” jelasnya ketika dihubungi.

Sementara itu, pertemuan UniKL dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaksikan rekod dua perlawanan tanpa kalah TNB tercalar apabila tewas 1-3 kepada UniKL selepas jaringan awal Syarman Mat Tee menerusi gol padang pada minit kelapan berjaya dipadam UniKL dengan meledak tiga gol.

Jaringan UniKL bermula pada minit ke-42 selepas Muhammad Razie Abd Rahim bijak menggunakan ruang yang dimiliki untuk menjaringkan gol awal dan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-53 disudahkan dengan sempurna oleh Martijn Peter Havenga sebelum Muhamad Hafiz Zainol melengkapkan gol kemenangan UniKL pada minit ke-57.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, TNB Thunderbolts terpaksa akur tewas 1-3 kepada Maybank.

Maybank membuka tirai jairngan pada minit ke-17 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhammad Sulaiman Abdul Razak dan jaringan tersebut pantas disamakan oleh Muhammad Syazwan Syafiq Basir juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24 untuk kedudukan berubah 1-1.

Maybank bagaimanapun kembali bangkit mendapatkan gol kemenangan menerusi dua jaringan Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-42 dan 45, masing-masing menerusi gerakan padang dan pukulan sudut penalti.