UNIKL 2 MAYBANK 1

Penantian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk muncul juara Liga Hoki Malaysia (LHM) saingan Liga Perdana selama sembilan edisi berakhir selepas menewaskan Maybank 2-1 dalam perlawanan ke-11 di Stadium Hoki Tunku Abdullah, Bangi hari ini.


UniKL secara rasminya memegang gelaran juara selepas 11 perlawanan, dengan merekodkan 10 kemenangan dan satu seri serta mengumpul keseluruhan 31 mata.

Mereka masih mempunyai satu perlawanan berbaki menentang TNB Thunderbolts, Jumaat ini, selain telah meninggalkan seteru utama mereka, Tenaga Nasional Berhad (TNB), di kedudukan kedua yang mengumpul 27 mata selepas 11 perlawanan.

Maybank mengejutkan UniKL yang memiliki empat kelebihan pukulan sudut penalti dalam suku pertama dengan meledak gol padang hasil gerakan antara Muhammad Hafiizhuddin Zaidi dan Mohamad Zulhamizan Awang Abas seawal minit keempat untuk mendahului 1-0.

Gol yang dicari-cari UniKL akhirnya muncul pada empat minit terakhir suku kedua di mana dua gol berturut-turut dihasilkan mereka, bermula dengan jaringan Rafizul Ezry Mustafa yang bijak menyambut bola tolakan Kieran Ian Govers pada minit ke-26.

Valentin Verga terus meletakkan UniKL di hadapan dua minit kemudian, juga menerusi gol padang yang menyaksikan kedudukan 2-1 kekal menuju ke bilik persalinan.

Pada minit ke-39, Amirrullah Zainol hampir menjaringkan gol penyamaan buat Maybank, namun percubaannya di hadapan pintu gol terkena palang dan minit ke-41 menyaksikan giliran UniKL untuk terus melebarkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti keenam, namun flik terus yang dilakukan Muhammad Razie Rahim tersasar ke sebelah kiri pintu gol.

UniKL terus menggandakan asakan dalam suku terakhir dan hampir mendapatkan gol ketiga menerusi aksi satu lawan satu di antara Faridzul Afiq Mohd dan penjaga gol Maybank, Muhamad Zaimi Mat Deris, namun tindakan cemerlang Zaimi menidakkan peluang Faridzul Afiq untuk menjaringkan gol.

Keputusan 2-1 yang kekal sehingga tamat perlawanan cukup untuk menjulang UniKL selaku juara liga buat pertama kali dalam sejarah penglibatan mereka.

dalam Liga Hoki Malaysia, saingan Liga Perdana dan pengendali UniKL, Arul Selvaraj nyata gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya selain mendedikasikan kejayaan yang diraih mereka buat semua individu yang telah berusaha keras menggerakkan pasukan tersebut sehingga hari ini.

“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan hari ini yang juga membolehkan kami untuk muncul selaku juara liga selepas sekian lama menanti," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

“Saya telah menjangkakan Maybank akan memberikan tentangan hebat dan mereka bermain dengan baik daripada segi bertahan serta melakukan serangan balas.

"Selain itu, saya berasa sedikit kecewa kerana kami memiliki kelebihan pukulan sudut penalti tetapi tidak menjaringkan gol daripadanya.

“Kami akan turun bertemu TNB Thunderbolts untuk aksi terakhir dan akan bermain seperti biasa kerana perlawanan tersebut kami gunakan sebagai persediaan menjelang separuh akhir Piala TNB.

“Saya juga akan menilai kembali tahap kecederaan pemain dan jika ada pemain yang perlu direhatkan, saya akan merehatkan mereka dalam aksi terakhir liga,” tambahnya.

Sementara itu, aksi di antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu menyaksikan tuan rumah tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 4-2 ke atas lawan mereka.