Pengendali pasukan UniKL, Arul Selvaraj, lega dapat menurunkan semula pemain berpengalaman, Baljit Singh, menjelang pertemuan dengan UiTM dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) esok setelah disahkan bebas daripada penggantungan.

Baljit sebelum ini memungut dua kad hijau dan satu kad kuning yang membawa kepada lapan mata demerit dan perlu menjalani penggantungan satu perlawanan.

Begitupun, Arul merujuk kes Baljit kepada Jawatankuasa Pengadilan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan mendapat pelepasan setelah kad hijau yang dikutip tidak akan memberi kesan kepada mata demerit yang menjurus kepada penggantungan.

Ia memberi kelegaan buat Arul yang memerlukan Baljit sebagai pelari pertama pasukan UniKL ketika bertahan dalam pukulan sudut penalti.

"Cuma kad kuning yang akan dikira untuk penggantungan perlawanan, sebaliknya mata kad hijau yang dikutip hanya untuk digunakan untuk merebut Anugerah Fair Play, itu sahaja," ujar Arul.

Dalam perkembangan sama, Arul mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengulangi aksi hambar ketika bertemu UiTM dalam pusingan pertama lalu.

Biarpun menang tipis 2-1, UniKL mensia-siakan banyak peluang terhidang, khususnya dalam pukulan sudut penalti dan penentuan pukulan penalti.

"Saya tidak begitu risau kerana ketika itu, ia adalah perlawanan pertama yang kami harungi selain beraksi tanpa empat pemain import.

"Tetapi, kami akan mengharungi perlawanan kelapan dan sudah tentu apabila sudah beraksi bersama-sama dalam tempoh yang panjang, persefahaman kami lebih bagus dan skuad ini semakin mantap.

"Jadi, saya tidak gusar mengenai rekod pertemuan pertama kami," katanya.