UniKL 1 TNB 0

UniKL mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila menewaskan TNB 1-0 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi hari ini.


Pertemuan dua pasukan di tangga teratas itu menjadi tumpuan dengan UniKL turun membawa misi untuk mengekalkan rentak kemenangan manakala TNB mahu bangkit selepas diikat UiTM kelmarin.

Corak permainan berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan dalam suku pertama dengan masing-masing cuba mencari ruang untuk mendapatkan jaringan.

Kebuntuan itu akhirnya terlerai pada minit ke-25 apabila Faridzul Afiq Mohd bijak memanfaatkan ruang untuk menyempurnakan gol padang buat tuan rumah.

Peluang terbaik TNB hadir dalam suku ketiga selepas dihadiahkan pukulan penalti stroke, namun ia gagal disempurnakan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

UniKL kental bertahan untuk meraih kemenangan ketujuh berturut-turut musim ini dan berkelebihan lima mata di depan TNB.

"Ia tiga mata yang cukup penting untuk kami menjarakkan kedudukan dengan TNB," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

"Selepas ini, kami perlu memberikan lebih tumpuan untuk meningkatkan persembahan bagi menghadapi aksi berikutnya.

"Persembahan hari ini bukan yang terbaik.

"Kami perlu lebih tersusun dan ketangkasan penjaga gol, David Harte, banyak membantu kami," katanya.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menambah: "Kami mempunyai keupayaan untuk memberikan saingan kepada UniKL.

"Kami perlu memberikan perhatian kepada bahagian penyudah dan ketinggalan lima mata ini merupakan satu cabaran buat kami."

Perlawanan lain menyaksikan TNB Thunderbolts tewas 1-4 kepada UiTM di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Thunderbolts, yang dikendalikan Nor Azlan Bakar, bermula baik apabila mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan padang Mohamad Syazwan Syafiq Basir.

UiTM kemudian mempamerkan kebangkitan dengan Miyu Tanimitsu mengikat kedudukan 1-1 hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Tanimitsu kemudian melengkapkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan pukulan penalti dalam suku ketiga sebelum Danial Asyraf Abdul Ghani melengkapkan jaringan keempat UiTM pada tiga minit terakhir.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Nurinsafi-Kedah meraih kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Hockademy KL 5-2.



Editor: Muzaffar Musa