UNIKL 3 THT 1

Pasukan Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, sebentar tadi.


Kemenangan itu menyaksikan UniKL kekal di tangga teratas LHM dengan 19 mata dan diekori rapat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM).

THT pula di kedudukan ketiga dengan 13 mata.

UniKL membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi gerakan Robert Huib Kemperman yang memperdaya tiga pertahanan THT sebelum melakukan pukulan ke sebelah kiri pintu gol yang dijaga Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.

THT, bagaimanapun, memperoleh peluang terbaik untuk mengikat kedudukan menerusi tiga pukulan sudut penalti, namun masalah penyudah yang dihadapi mereka menyebabkan kedudukan 1-0 kekal sepanjang suku pertama.

UniKL dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dalam suku kedua, namun kesilapan yang berlaku ketika menahan bola menyaksikan peluang itu sekadar berlalu sia-sia.

THT kembali berpeluang mengikat kedudukan apabila pertahanan UniKL gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada penghujung separuh masa pertama, namun bola yang sampai kepada Fitri Saari tidak berjaya ditolak masuk ke gawang lawan.

Beberapa saat sebelum suku ketiga berakhir, kekasaran yang dilakukan Sukri Mutalib ketika menjatuhkan Fitri Saari menghadiahkan pukulan sudut penalti buat THT.

Malangnya, dua pukulan berturut-turut itu masih gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.

Jaringan penyamaan yang dicari-cari THT tiba pada minit ke-48 selepas Jang Jong-hyun menjaringkan gol daripada pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak bertahan lama dengan hanya seminit diperlukan UniKL untuk kembali di depan menerusi serangan balas pantas yang disudahkan Muhammad Hafiz Zainol.

UniKL melengkapkan keputusan perlawanan menerusi jaringan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-54.

Dalam pada itu, pertemuan di antara UiTM dan TNB di Stadium Hoki UiTM, Shah Alam, menyaksikan TNB membawa pulang tiga mata dengan Muhammad Arif Syafie Ishak memecah kebuntuan buat pelawat pada minit ke-32 hasil pukulan sudut penalti.

TNB menggandakan kelebihan itu pada minit ke-42 menerusi jaringan Firhan Ashaari, namun UiTM kembali mencuri satu jaringan pada minit ke-53 hasil gol padang Abdul Khaliq Hamirin.

TNB sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal tidak mensia-siakan peluang itu untuk memutlakkan kemenangan 3-1 buat TNB.