Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dengan membelasah UiTM 7-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Tun Razak hari ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Arul Selvaraj itu mencatat dua kemenangan, termasuk kejayaan menjulang Piala Sumbangsih susulan kejayaan menewaskan pencabar utama, Terengganu Hockey Team (THT), 3-2 Jumaat lalu.

Dalam aksi hari ini, UniKL mempamerkan taring sebenar apabila tonggak utama dari Belanda, Roel Bovendeert, serta Faridzul Afiq Mohd masing-masing meledakkan dua gol.

Pemain utama skuad kebangsaan, Razie Rahim, serta dua rakan sepasukan, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Farhan Mohd Zain, turut meletakkan nama dalam senarai penjaring untuk memastikan UniKL kekal di tangga teratas liga.

"Kami menurunkan beberapa pemain muda dan mereka mengambil peluang dengan baik sekali. Saya turut gembira dengan persembahan Bovendeert yang menjaringkan gol dalam semua tiga perlawanan setakat ini,” ujar Arul.

Sementara itu, THT menepati ramalan apabila mudah menewaskan Kedah Nurinsafi 8-2.

Muhammad Rashid Baharom dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran mencetuskan kebangkitan buat THT selepas ketinggalan kepada gol pendahuluan Azfar Yaqoob.

Walaupun Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana mengikat kedudukan pada minit ke-11, THT yang menerima sentuhan jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, itu kembali mendahului 4-2 dalam suku kedua menerusi jaringan Jung Manjae dan Faizal Saari.

Muhammad Sufi Ismat dan Muhammad Azri Hassan menambah dua lagi gol buat THT sebelum Faizal dan Luqman melengkapkan kemenangan 8-2 buat juara bertahan itu.

"Kami sedikit tertekan sewaktu kedudukan 2-2 tetapi mampu tingkatkan rentak permainan dan walaupun saya kurang berpuas hati dengan persembahan ini, kami tetap mampu menjaringkan gol apabila mendapat peluang," kata Dhaarma.

Keputusan lain:

Hockademy KL 4 TNB Thunderbolts 2
TNB 2 Maybank 0



Editor: Nafis Abdullah