Misi sukar buat Kelab Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk merampas takhta Liga Hoki Malaysia (LHM) daripada pendahulu, Kelab Hoki Terengganu (THT), apabila bakal turun tanpa kapten, Marhan Abdul Jalil, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan, esok.

Persaingan Liga Perdana makin rancak apabila UniKL hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu, THT.

Mereka berpeluang untuk berada di puncak jika menewaskan THT esok dan dalam masa yang sama, mengharapkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di tangga kedua dengan sembilan mata, tewas kepada Maybank.

Namun, UniKL berdepan misi cukup getir memandangkan terpaksa melupakan khidmat Marhan ekoran masih belum pulih daripada kecederaan belakang.

"Sudah semestinya kemenangan esok adalah kejayaan manis tetapi yang membimbangkan saya adalah kecederaan Marhan. Petang semalam dia tidak diturunkan.

"Saya harap dia pulih esok, namun peluangnya masih 50-50," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Menentang THT bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi pemain import THT, Gonzalo Peillat, unggul menerajui carta penjaring dengan tujuh gol -- lima daripadanya hasil ledakan pukulan sudut penalti.

Arul telah mengkaji teknik pemain Argentina tersebut dan mengharapkan barisan pemainnya mampu mengurangkan kesilapan daripada memberikan pukulan sudut penalti secara mudah kepada THT, sekali gus mengekang Peillat daripada menyumbat gol.

"Saya lihat ketika berdepan TNB Thunderbolts, Peillat menghadapi kesukaran untuk menjaringkan gol.

"Kami mungkin akan menggunakan pendekatan seperti itu untuk menyekat Peillat," kata Arul lagi.

Peillat yang menjadi ancaman utama UniKL bersedia membuat kerja rumah kerana menyedari kelibatnya sudah pasti akan diberi perhatian yang lebih.

"Saya gembira dengan persembahan saya yang berada di tahap tinggi ketika ini. Saya harap ia terus begitu.

"Masih banyak lagi baki perlawanan dan kami fokus satu per satu perlawanan.

"Saya tidak memikirkan soal penjaring terbanyak. Saya dan Faizal (Saari) mampu melakukan tolakan dengan baik, oleh itu sukar untuk menyekat pukulan sudut penalti kami.

"UniKL memiliki seorang penjaga gol yang hebat, David Harte, dalam kalangan penjaga gol terbaik dunia.

"Kami perlu mengkaji corak bertahan UniKL dan kami mampu mengatasi mereka dengan rangkaian serangan kami," katanya.