UiTM 1 UniKL 2

UniKL dipaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata penuh dalam pertemuan dengan UiTM apabila mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Tun Razak, petang tadi.


Skuad kendalian Arul Selvaraj itu masih terkesan dengan keputusan perlawanan pembukaan yang menyaksikan mereka tumpas menerusi penentuan penalti kepada Terengganu Hockey Team (THT) yang menyaksikan mereka terlepas Piala Sumbangsih.

Kali ini, UniKL turun dengan diperkuatkan bintang Piala Dunia Belanda, Martijn Peter Havenga dan Robert Huib Kemperman, serta penampilan semula Izad Hakimi Jamaluddin yang sebelum ini mengumumkan untuk berehat seketika daripada arena hoki tempatan.

Dua suku pertama menyaksikan peluang demi peluang dibazirkan oleh kedua-dua pasukan dengan masing-masing dianugerahkan penalti stroke, namun gagal diterjemahkan kepada gol.

Perlawanan dihentikan seketika dalam suku ketiga kerana kilat, namun sejurus aksi bersambung semula, UniKL membuka tirai jaringan menerusi Sukri Mutalib pada minit ke-40.

Havenga menjadikan kedudukan 2-0 selepas menyempurnakan penalti stroke, enam minit kemudian.

UiTM pula memperoleh gol sagu hati menerusi Mohd Azwar Rahman pada minit ke-59 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Keputusan lain:

TNB 10 Nur Insafi 0
THT 4 TNB Thunderbolts 0