Juara Liga Hoki Malaysia (LHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), menamatkan saingan musim ini dengan rekod cemerlang 14 perlawanan tanpa kalah selepas seri 1-1 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di Bukit Jalil, hari ini.

Kejayaan itu mengukuhkan nama UniKL selaku antara pasukan terbaik tanah air apabila mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selain menjulang Piala Sumbangsih, bulan lalu.

Dalam aksi petang tadi, UniKL bimbingan Arul Selvaraj itu menerima tentangan sengit sepanjang perlawanan sebelum TNB berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah.

Tersentak dengan pendahuluan lawan, UniKL yang konsisten mengutip tiga mata dalam 13 perlawanan sebelum ini bangkit menyamakan kedudukan lima minit berselang hasil jaringan Mohamad Ashran Hamsani sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Arul berkata keputusan hari ini memberikan satu petanda positif menjelang aksi separuh akhir Piala TNB 2020 berdepan Maybank, Rabu ini.

"Ia satu perlawanan yang mencabar, kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik dan ia juga satu aksi pemanas badan yang baik sebelum aksi separuh akhir Piala TNB.

"Ia satu perlawanan menang atau kalah, kami akan bermain sebagai juara dan kami perlu bermain dengan keyakinan,” katanya.

Sejurus tamat perlawanan, UniKL yang telah mengesahkan kejuaraan LHM 2020 lebih awal, dinobatkan secara rasmi dalam satu majlis yang dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden UniKL Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Sebagai juara, UniKL yang mengumpul 40 mata keseluruhan membawa pulang trofi kemenangan dan hadiah wang berjumlah RM100,000.

TNB muncul pasukan naib juara dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM60,000 sementara Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga, dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM40,000.

Sementara itu, Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berpuas hati menamatkan kempen musim ini di kedudukan ketiga liga selepas terikat 2-2 dengan Maybank.

Jaringan Muhammad Syamim Naim Abd Hamid dan Shahmie Irfan Suhaimi membolehkan Maybank mendahului 2-0 dalam tempoh seminit sebelum dua ledakan tonggak import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun, menyelamatkan maruah THT kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah.

"Kami berada di bawah tekanan untuk
memenangi perlawanan ini berbanding Maybank yang tidak mempunyai sebarang sasaran penting dan ia
lebih mudah buat mereka," ujar Dharma.

"Kami juga tidak bernasib baik kerana dibolosi dua gol pantas oleh lawan dan di sebalik kebangkitan yang
dipamerkan, kami juga gagal sempurnakan beberapa peluang untuk mendapatkan kemenangan.”

Keputusan lain:

UITM HA 4 TNB Thunderbolt 1
Hockademy KL 2 Kedah Nurinsafi HT 0

-- BERNAMA