TNB THUNDERBOLTS 2 THT 1

Misi Terengganu Hockey Team (THT) untuk meneruskan tekanan buat UniKL dan TNB tampak makin sukar apabila tewas mengejut dalam pertemuan dengan TNB Thunderbolts 1-2 di Stadium Hoki Tun Razak, sebentar tadi.


Di atas kertas, pasukan berstatus bintang, THT, seharusnya tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) itu.

Segalanya tampak sempurna buat pasukan bimbingan I. Vikneswaran itu dengan deretan serangan dilancarkan ke arah kubu skuad muda TNB Thunderbolts yang dibimbing Nor Azlan Bakar.

Dalam suku pertama, THT terpaksa akur dengan kehebatan Hairi Rahman yang menepis beberapa percubaan mereka, antaranya menerusi pukulan sudut penalti Jang Jong-hyun.

Serangan balas pantas dalam suku kedua dibantu masalah komunikasi di bahagian pertahanan THT membolehkan TNB Thunderbolts berada di depan.

Berpunca daripada scoop pantas Aminuddin Zain, Muhammad Hazim Amin Hafiz mudah menolak masuk gol pertama TNB Thunderbolts.

THT kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-41 hasil jaringan padang Jung Man-jae.

Ketika keputusan hampir berkesudahan seri, Amiruddin Zain muncul wira TNB Thunderbolts untuk jaringan kemenangan sulung mereka dalam kempen ini hasil pukulan sudut penalti.

Pengendali TNB Thunderbolts, Nor Azlan, mengakui tidak menjangkakan skuad bimbingannya mampu untuk meraih kemenangan ke atas THT selain memuji semangat juang tinggi yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya ketika mereka melakukan serangan dan juga bertahan.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan kami tidak menjangkakan yang kami mampu untuk meraih kemenangan pertama dalam liga.

"Hari ini pemain telah bermain dengan bersungguh-sungguh serta mereka telah memberikan segala yang mereka ada, hasilnya kami yang langsung tidak pernah menang ke atas THT berjaya menewaskan mereka.

“Bagi saya ini merupakan satu keputusan luar jangkaan kami kerana THT merupakan satu pasukan yang cukup bagus dan dibarisi oleh pemain kebangsaan dan juga pemain-pemain import terbaik berbanding kami yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan.

“Secara kesuluruhan, saya memuji usaha keras yang telah pemain tunjukkan di mana mereka bermain bermati-matian menyerang dan juga bertahan serta mereka bermain dengan semangat sepasukan yang cukup tinggi dan saya sangat-sangat berpuas hati dengan apa yang telah pemain saya berikan hari ini,” katanya.

Sementara itu, UniKL memanfaatkan peluang dengan baik aksi di laman sendiri dengan berpesta gol apabila membelasah UiTM 11-0.

Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin membuka tirai gol perlawanan pada minit ke-31 sebelum Razie Rahim, Rober Huib Kemperman dan Valentin Verga masing-masing menyumbat dua gol selain satu jaringan daripada Hafiz Zainol, Rafizul Ezry Mustafa, Martijn Peter Havenga dan Marhan Jalil.

"Mungkin kami terlalu mudah dalam dua suku awal dan saya menggunakan kesempatan di bilik persalinan untuk berpesan kepada pemain supaya bangkit memberikan persembahan bertenaga.

"Pemain memberi tindak balas hebat yang menyaksikan mereka mendapatkan tiga gol dalam tempoh dua setengah minit," ujar jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Tambah jurulatih UiTM, Meor Shahril Saarani: "Pemain UiTM gagal menyerap tekanan daripada UniKL dalam separuh masa kedua.

"Inilah aksi terburuk UiTM dalam kempen ini. Saya menjangkakan kami dapat mengumpul mata penuh dalam baki perlawanan seterusnya."