Perlawanan kedua Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pasukan Nur Insafi/Kedah Hockey di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menyaksikan TNB berpesta gol apabila membelasah lawannya itu 10-0, petang tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan TNB kini di puncak liga dengan enam mata selepas dua perlawanan dan telah menjaringkan 14 gol serta satu bolos selain diekori oleh Kelab Hoki Terengganu (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang masing-masing berkongsi empat mata di kedudukan kedua dan ketiga.

Sepuluh gol yang diledak TNB hari ini berpunca salah satunya daripada tiga pukulan sudut penalti yang dimiliki dan sembilan jaringan padang.

Gol pembukaan TNB terhasil daripada pukulan sudut penalti Firhan Ashaari yang melakukan satu flik terus untuk menewaskan penjaga gol Nur Insafi.

Sembilan jaringan padang TNB pula bermula pada minit ke-15 melalui Norshafiq Sumantri, disusuli jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (m-18), Shello Silverius (m-19), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-25) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-27).

Selebihnya, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyumbat dua gol (m-30 dan 57), diikuti Muhamad Ramadan Rosli (m-47) dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-48.

Sementara itu, bagi aksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, yang menemukan THT dan TNB Thunderbolts menyaksikan THT cemerlang mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan liga apabila menundukkan TNB Thunderbolts 4-0.

Jaringan THT terhasil menerusi dua pukulan stroke, satu pukulan sudut penalti dan satu lagi jaringan padang.

Kemenangan THT bermula selepas Faizal Saari menyudahkan pukulan stroke dengan cemerlang pada minit ke-18.

Pada minit ke-24, THT dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Jang Jonghyun menyempurnakan jaringan tersebut sebelum THT sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan stroke pada minit ke-48 dan kali ini giliran Mohd Fitri Saari mencatat nama selaku penjaring.

Beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan, Muhammad Rashid Baharom menjaringkan gol keempat buat THT menerusi gerakan padang untuk tiga mata menjadi milik mereka.

Dalam atu lagi aksi di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, UniKL turut memastikan tiga mata dibawa pulang dalam aksi kedua selepas menewaskan UiTM 2-1.

UniKL membuka tirai jaringan pada minit ke-40 selepas Mohamad Sukri Abdul Mutalib menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan enam minit kemudian, UniKL dihadiahkan pukulan stroke dan Martijn Peter Havenga menyumbang gol kedua buat UniKL.

Seminit sebelum aksi sebenar berakhir, UiTM mencuri satu gol menerusi jaringan padang Mohd Azwar Abd Rahman dan perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat UniKL.