TNB 8 TNB THUNDERBOLTS 0

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat kemenangan kelapan mereka dalam aksi ke-10 Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas menjinakkan pasukan “adik”, TNB-Thunderbolts, 8-0 di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, petang tadi.


Selepas 10 perlawanan, TNB kekal di tangga kedua dengan 24 mata manakala Universiti Kuala Lumpur (UniKL) gah di puncak liga dengan 25 mata selepas sembilan perlawanan.

Aksi dalam suku pertama menyaksikan TNB dan TNB-Thunderbolts saling melancarkan serangan bagi memburu gol awal dan daripada sudut yang agak sempit, Norsyafiq Sumantri meledak gol pertama TNB pada minit kelapan.

Tiga minit kemudian, menerusi situasi satu lawan satu di antara Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan penjaga gol TNB-Thunderbolts, Hairi Abdul Rahman, Akhimullah berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan itu untuk TNB melebarkan kedudukan kepada 2-0.

TNB-Thunderbolts berpeluang merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada penghujung suku tersebut, namun ia gagal disempurnakan dengan baik.

TNB-Thunderbolts kemudian menerima dua lagi pukulan sudut penalti dalam suku kedua, namun peluang tersebut masih buntu untuk diterjemahkan, sebaliknya TNB pula melebarkan kedudukan menerusi jaringan Faiz Helmi Jali menjelang waktu rehat separuh masa.

Penguasaan TNB semakin jelas dalam suku ketiga ketika Muhammad Noor Firdaus Rosdi meledak gol keempat pasukan itu pada minit ke-38.

Jaringan kelima TNB hadir pada minit ke-51 selepas bola yang dihantar Norsyafiq menemui Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk pemain itu melakukan pukulan ke sebelah kanan pintu gol TNB Thunderbolts.

TNB menambah tiga lagi gol pada tiga minit terakhir perlawanan menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-57 dan ke-58 sebelum Akhimullah melengkapkan jaringan kelapan menerusi gol kedua peribadinya.