TNB 4 Maybank 2

Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali merampas tangga teratas Liga Perdana, Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas menewaskan Maybank 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Kemenangan itu menyaksikan anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin memimpin liga dengan 13 mata, lebih satu mata berbanding Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang sekadar seri 1-1 ketika bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi.

Muhammad Shahril Saabah meletakkan TNB di depan pada minit ke-20 menerusi gol padang sebelum Shello Silverius menambah gol kedua tiga minit selepas itu, juga hasil gol padang.

Muhammad Aminudin Mohd Zain mengukuhkan kedudukan TNB apabila menyumbang gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34.

Maybank, bagaimanapun, tidak mudah mengalah selepas Alan Oscar William menjaringkan gol pertama hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-44.

Bagaimanapun, Shello sekali lagi menemui ruang untuk menjaringkan gol keempat TNB.

Maybank memperoleh gol kedua pada minit ke-57 selepas Wookey Oscar William tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti tetapi ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan TNB.

Di Stadium Hoki Batu Buruk, THT berada di depan menerusi jaringan padang Faizal Saari sebelum Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menyamakan kedudukan untuk UniKL, juga menerusi jaringan padang pada minit ke-51.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan TNB Thunderbolts 4-0 untuk kemenangan ketiga berturut turut mereka dalam saingan liga.

Selepas beraksi hambar di awal saingan, skuad bimbingan Lim Chiow Chuan itu mempamerkan peningkatan ketara untuk kembali menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana.

"Kami bermula dengan agak perlahan pada awal permainan tetapi memasuki pertengahan perlawanan, pemain mula menunjukkan peningkatan.

"Jelas sekali Thunderbolts beraksi dengan bersungguh-sungguh dan memberikan saingan sengit.

"Apapun, yang penting adalah kami sekali lagi meraih tiga mata penuh dan ia kembali meningkatkan keyakinan kami untuk menghadapi baki perlawanan selepas ini," kata Chiow Chuan.

Dalam perlawanan hari ini, pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meletakkan KLHC di depan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti.

KLHC menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Nicholas Budgeon pada minit ke-31 sebelum Thomas Carson mengukuhkan kedudukan KLHC apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-49.

Jonghyun melengkapkan kemenangan pasukannya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.


Keputusan lain:

THT 1 UniKL 1
TNB Thunderbolts 0 KLHC 4
Maybank 2 TNB 4

Jadual perlawanan seterusnya:

Jumaat
THT lwn TNB
(Std Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, 5 ptg)

KLHC lwn Maybank
(Std Hoki Kuala Lumpur, 5 ptg)

TNB Thunderbolts lwn UniKL
(Std Hoki Bukit Jalil, 8.30 mlm)