Pengurus Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandez, mengesahkan tiada majlis penyampaian trofi Liga Hoki Malaysia (LHM) untuk juara musim 2019, UniKL, dalam aksi terakhir liga hari ini.

UniKL perlu menunggu lebih lama untuk menjulang trofi liga biarpun akan menentang TNB Thunderbolts, hari ini.

Ini kerana KHM merancang untuk menyerahkan semua trofi secara serentak selepas final Piala TNB pada 2 Mac ini sebagaimana yang diamalkan tahun lalu.

Pendekatan itu dilihat lebih memudahkan tugas KHM.

"Terlalu singkat untuk KHM mengadakan majlis penyerahan trofi hari ini.

"Perkara ini sudah dilakukan musim lalu dan kalau KHM menerima maklum balas daripada pasukan (dalam kancah LHM), maka tahun depan kami akan mengadakan upacara penyampaian trofi liga dan Piala TNB (berasingan)," jelas Brian.

UniKL muncul juara liga selepas menewaskan Maybank 2-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, kelmarin walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Ia menamatkan penantian sembilan tahun skuad The Young Guns itu untuk menjuarai LHM.