THT 4 TNB THUNDERBOLTS 0

Juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT), memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri untuk menundukkan TNB Thunderbolts 4-0 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.


Skuad bimbingan I. Vikneswaran itu hanya memecahkan kebuntuan tiga minit selepas bersambung suku kedua menerusi penalti stroke Faizal Saari.

Pukulan sudut penalti Jang Jong-hyun pada minit ke-20 kemudian dinafikan Hairi Abdul Rahman sebelum percubaan Mohd Shahrun Nabil Abdullah seminit selepas itu melambung tinggi.

Hairi yang juga penjaga gol negara tiada jawapan untuk pukulan sudut penalti Jong-hyun pada minit ke-24, sekali gus menjadikan kedudukan 2-0 buat THT.

Thunderbolts pula yang sesekali melakukan gerakan melalui Azril Misron gagal menembusi kubu tuan rumah yang dikawal Muhammad Hafizuddin Othman.

Memasuki suku keempat, THT melancarkan serangan menerusi Nabil Fiqri Mohd Noor tetapi pukulan pemain kebangsaan itu tersasar.

THT memperoleh penalti stroke kedua pada minit ke-49 apabila Hairi menjatuhkan Jung Man-jie dengan ketua pasukan, Fitri Saari, mudah menolak masuk gol ketiga pasukannya.

Muhammad Rashid Baharom melengkapkan kemenangan 4-0 THT apabila menyambar hantaran Faizal dari sebelah kiri ketika permainan berbaki kurang seminit.