LHM: THT berhati-hati hadapi TNB Thunderbolts

Oleh Staff Writer 12 Januari 2019 386
LHM: THT berhati-hati hadapi TNB Thunderbolts
Terengganu Hockey Team (THT) tidak mahu mendabik dada meskipun selepas bergelar juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 semalam, sebaliknya akan terus memberi tumpuan terhadap saingan liga yang akan bermula esok.

Jurulatih THT, I. Vikneswaran, berkata meskipun THT mempunyai bekalan satu mata setelah memenangi piala itu buat kali pertama sejak menyertai liga pada 2013, mereka tidak boleh memandang rendah lawan kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Impian kami hari ini (semalam) adalah untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ini dan kini sudah pun menang. Ini adalah sejarah buat kami walaupun hanya dapat kutip satu mata dan kami akan teruskan perjuangan serta memperbaiki aspek yang perlu disentuh untuk saingan di masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perlawanan di Padang Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Dalam perlawanan menentang pasukan UniKL itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga pemenang ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti dan THT jelas lebih unggul dengan keputusan 3-1. 

Saingan LHM 2019 akan bermula esok dengan penyertaan tujuh pasukan, iaitu THT, UniKL, TNB, TNB Thunderbolts, Maybank, UiTM dan Nurinsafi.

Mengulas lanjut, Vikneswaran berkata pasukannya mengambil serius perlawanan pertama liga bertemu TNB Thunderbolts esok.

“Pasukan ini (TNB Thunderbolts) terdiri daripada pemain-pemain muda dan kami tidak memandang rendah keupayaan mereka kerana mereka mempunyai ciri-ciri permainan seperti pasukan senior TNB.

"Jadi, kami akan lihat dan menyusun strategi terbaik bagi mengutip mata untuk perlawanan esok,” tambah Vikneswaran.

Sementara itu, jurulatih UniKL, Arul Selvaraj menerima kekalahan menentang THT dengan hati terbuka meskipun agak kecewa kerana anak buahnya gagal memanfaatkan peluang mengutip mata dalam suku masa pertama dan keempat perlawanan.

Arul menjelaskan cuaca panas juga menyumbang kepada kelemahan pasukannya itu semalam memandangkan terdapat dua pemain importnya yang masih mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan dengan cuaca panas di negara ini.

“Walaupun kecewa, kami masih mempunyai satu mata dan akan terus fokus kepada liga. Untuk saingan liga, meskipun kami menentang pasukan UiTM, kami tidak akan memandang rendah kekuatan mereka.

“Saya selalu ingatkan pemain saya, buat persiapan seperti mana menentang pasukan yang kuat sebab bila kami di padang permainan, ia akan jadi lebih mudah kerana kami telah berlatih dan membuat persiapan yang rapi,” ujar Arul.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen