THT 5 MAYBANK 2

Pasukan Hoki Terengganu (THT) menghidupkan sisa perjuangan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan menewaskan Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Buruk, petang tadi.


Berbaki dua perlawanan, THT kini berada di tangga ketiga dengan 19 mata manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersaing untuk perebutan juara dengan mengumpul 24 dan 25 mata.

Aksi di Kuala Terengganu menyaksikan THT bermula baik dalam suku pertama apabila pukulan kencang Mohd Fitri Saari dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran diselamatkan penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Pemain berpengalaman, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, membuka tirai jaringan THT pada minit kesembilan selepas menyambar pukulan sudut penalti Jang Jong-hyun.

THT menggandakan jaringan menerusi Jong-hyun yang menyudahkan pukulan sudut penalti dua minit sebelum tamat suku pertama, namun kedudukan itu tidak kekal lama.

Skuad pelawat diberikan penalti stroke yang disempurnakan Hafifi Hafiz Hanafi (m-18) sebelum Meor Muhamad Azuan Hasan menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-21.

THT hampir dikejutkan gol ketiga Maybank pada minit ke-36, namun mujur penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, menafikan pukulan sudut penalti Mohd Sybrie Shamsuddin.

Pemain import kelahiran Korea Selatan, Jung Man-jae, kembali menceriakan THT pada minit ke-43, disusuli dua jaringan Faizal Saari pada minit ke-53 dan minit 57, sekali gus melengkapkan kemenangan 5-2 THT.