Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa menanggung kekalahan kedua musim ini selepas gagal mengekang kebangkitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum tewas 4-2 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Selepas terlepas peluang mempertahankan Piala Sumbangsih susulan kekalahan 3-2 di tangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam aksi pertama, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Faizal Saari pada minit ke-18.

Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan 10 minit apabila pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan mengikat kedudukan 1-1.

TNB, yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin dan masih belum tewas dalam empat aksi sebelum ini, terus garang mempamer kebangkitan dalam suku ketiga apabila Shahril Saabah menjaringkan gol hasil gerakan padang.

Tiga mata sah milik TNB apabila Azrai Aizad Abu Kamal dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah dua lagi jaringan, masing-masing pada minit ke-49 dan 52 tatkala satu lagi gol THT diraih menerusi Faizal pada minit ke-55.

Kekalahan itu menyaksikan THT bimbingan Dhaarma Raj Abdullah itu kini menduduki tangga keempat liga dengan sembilan mata, ketinggalan enam mata berbanding TNB yang mencatat kemenangan dalam kesemua lima perlawanan.

"Kami tidak mampu ambil kepantasan lawan. Saya rasa dalam dua babak awal, kami masih mampu tetapi apabila sudah masuk ke suku ketiga, kami tidak dapat membuat pertukaran seperti TNB," ujar Dhaarma.

"TNB bermain dengan baik hari ini dan saya amat berpuas hati kerana apa yang dirancangkan sebelum perlawanan dapat dilaksanakan sebaik mungkin," kata Nor Saiful.

"Kali ini kami manfaatkan peluang jaringan yang dicipta dan saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan walaupun tempoh rehat seminggu."

Sementara itu, UniKL turut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Kedah/Nurinsafi HT di Stadium Hoki Sungai Petani.

Jaringan Roel Bovendeert selepas 13 minit memberikan kelebihan buat skuad kendalian Arul Selvaraj itu sebelum Razie Rahim dan Najmi Farizal Jazlan menambah dua lagi gol dalam suku ketiga dan keempat untuk mengesahkan mata ke-15 buat pemenang Piala Sumbangsih itu.

"Satu lagi kemenangan buat UniKL mengutip tiga mata yang cukup berharga. Pasukan lawan bermain dengan baik untuk menyekat peluang kami daripada mendapatkan jaringan," kata Arul.

Keputusan lain:

UITM 0 HOCKADEMY KL 1
MAYBANK 3 TNB THUNDERBOLTS 2




Editor: Nafis Abdullah