Pasukan hoki Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh menarik nafas lega sebaik Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberikan lampu hijau untuk mereka menggunakan semula Stadium Hoki UiTM selepas venue itu lulus piawaian yang ditetapkan.

KHM kembali melakukan pemantauan terhadap venue itu semalam dan berpuas hati dengan penyelenggaran dan proses baik pulih terhadap permukaan padang serta garisan D yang dilaporkan tidak berada dalam keadaan baik sebelum ini.

Tinjauan Nadi Arena pagi tadi mendapati kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan menjelang pertemuan pasukan itu dengan Nurinsafi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), Sabtu ini.

"Saya bersama seorang lagi pihak jawatankuasa telah memeriksa padang UiTM dan mendapati mereka telah melakukan penambahbaikan yang membenarkan penggunaan venue itu dalam saingan LHM.

"Padang itu telah mendapat kelulusan daripada pihak kami," kata Pengarah Kejohanan LHM, Jusvir Singh.

Daripada lima stadium hoki yang diluluskan KHM, hanya Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu, lulus ujian lampu limpah untuk perlawanan waktu malam.

Stadium lain pula akan menjalankan perlawanan pada sebelah petang selagi lampu limpah tidak mencapai piawaian minimum 700 lux.

"Jika venue-venue itu tidak dapat digunakan pada sebelah malam, kami akan mengubah waktu perlawanan kepada sebelah petang.

"Kami akan memantau perkembangan itu sehingga hujung bulan ini," tambahnya.