Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mencatat kemenangan sulung dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) Divisyen 1 dengan menewaskan Persatuan Hoki Terengganu (MSN-PHT) 1-0 di Kuala Terengganu, petang tadi.

Kedua-dua pasukan bermain berhati-hati sehinggalah peluang Terengganu pada minit terakhir suku pertama menerusi serangan balas yang gagal disudahkan Muhamad Shakir Izudin Shamsuri.

Skuad pelawat turut berpeluang mendahului pada minit ke-25, namun pukulan sudut penalti Muhammad Shahhairul Rusyaidi Abdullah tersasar ke sebelah kanan.

Seminit sebelum rehat, Muhammad Zamir Shamsuni akhirnya menjaringkan gol tunggal SSTMI menerusi gerakan padang menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohamad Fikri Mohamad Nor.

SSTMI hampir menggandakan kedudukan selepas Muhammad Sulaiman Abdul Razak berjaya melepasi kawalan pertahanan Terengganu tetapi pukulannya gagal menepati sasaran (m-49).

Walaupun mendominasi permainan, SSTMI terus buntu menambah jaringan apabila pukulan sudut penalti Muhammad Sulaiman pada minit ke-59 digagalkan Mohamad Fikri.

Skuad bimbingan Zaidi Zainudin itu terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi pertama mereka musim ini manakala Terengganu mengalami kekalahan kedua daripada dua perlawanan.