THT 6 NUR INSAFI 1

Hatrik daripada Jung Man-jie serta dua gol Jang Jong-hyun memastikan kemenangan 6-1 Pasukan Hoki Terengganu (THT) ke atas Nur Insafi dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Batu Buruk, petang tadi.


Jong-hyun membuka tirai jaringan pada minit ketujuh selepas menyudahkan pukulan sudut penalti, namun pasukan pelawat menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian.

Hantaran Nir Rahul Hrsikesa dari sebelah kanan berjaya menewaskan Muhammad Hafizuddin Othman untuk Joel van Huizen mudah menolak masuk ke dalam pintu gol.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, THT menggandakan serangan yang menyaksikan dua pukulan sudut penalti berturut-turut Jong-hyun pada minit ke-12 diselamatkan penjaga gol lawan.

Asakan berterusan THT berhasil apabila Man-jie menjaringkan gol padang pada minit ke-14, disusuli pukulan sudut penalti Jong-hyun (m-15), sekali gus menjadikan kedudukan 3-1.

Man-jie terus mencetak nama selaku penjaring menerusi gol padang pada minit ke-22 sebelum melengkapkan hatrik, juga menerusi gol padang, pada minit ke-31.

Ketinggalan 1-5, Nur Insafi memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-35, malangnya percubaan Baljit Singh dinafikan Hafizuddin.

Percubaan jarak dekat penyerang negara, Faizal Saari, pada minit ke-47 menambah duka Nur Insafi dan kedudukan 6-1 kekal sehingga tamat.