Jurulatih, Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil selepas menyaksikan pasukannya seri 2-2 berdepan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) semalam.

Keputusan tersebut yang dianggap mengejutkan turut menyebabkan THT hilang takhta selaku pendahulu liga selepas dirampas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

THT gagal menepati ramalan walaupun turun selaku pasukan pilihan dengan meledak 61 gol selepas 10 perlawanan.

Namun, anak buah Sarjit serba tidak menjadi, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang tidak memihak mereka.

"Setiap pasukan membelanjakan wang yang besar. Dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung seperti ini, sepatutnya ada rujukan video.

"Kerana dari situ kita tahu apa yang betul dan apa yang salah. Kamu boleh lihat sendiri keputusan pengadil," jelas Sarjit.

Sementara itu, pengendali UNIKL, Arul Selvaraj, memuji aksi Muhammad Marhan Abdul Jalil.

UNIKL sebelum ini mengambil risiko dengan menawarkan kontrak tiga tahun kepada Marhan meskipun pemain itu sedang dibelenggau kecederaan pergelangan kaki.

Bagaimanapun, jelas tindakan itu berbaloi ketika Marhan memainkan watak penting selaku perancang utama pasukan.

"Marhan cukup berpengaruh dalam setiap perlawanan, dia tidak letih berlari dan berjuang.

"Dia menampikan kualiti selaku seorang ketua dan itu yang skuad kebangsaan perlukan sepertimana yang dia pamerkan bersama kami di sini.

"Saya berharap semangat sama mampu dipamerkan pemain lain," katanya.