Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kedudukan teratas Liga Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas menewaskan lawan mereka itu 2-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Turun di kedudukan kedua liga di belakang TNB, skuad bimbingan Sarjit Singh harus berterima kasih kepada pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat, yang meledak kedua-dua gol itu pada minit ke-31 dan 34.

Bagaimanapun, TNB nyata mampu memberikan saingan sengit apabila menafikan beberapa peluang terbaik THT untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan selepas berakhir separuh masa pertama.

Kemenangan ketiga yang dilakar THT menyaksikan juara Piala TNB itu kini mengumpul 10 mata untuk memimpin LHM, lebih satu mata berbanding TNB di tempat kedua.

Sarjit mengakui Peillat menjadi watak penting kepada kemenangan THT hari ini.

"Dia menyempurnakan dua pukulan sudut penalti dengan baik. Selepas tiga perlawanan, Peillat sudah menjaringkan tujuh gol dan ia adalah pencapaian yang cemerlang," katanya.

Sarjit tidak mahu barisan pemainnya berasa selesa dengan kedudukan semasa mereka, sebaliknya menuntut aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ahad ini.

"Kami perlu fokus dalam setiap perlawanan dan lawan seterusnya adalah UniKL.

"Saya menjangkakan ia perlawanan yang sukar kerana mereka juga mempunyai kualiti permainan yang baik," katanya.

Sementara itu, UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj turut cemerlang apabila menewaskan TNB Thunderbolts 3-1.

Bagaimanapun, mereka tersentak dengan gol awal TNB Thunderbolts yang disumbangkan oleh Muhammad Muhibuddin Moharam menerusi gol padang minit ketujuh.

Pakar pukulan sudut penalti UniKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, menyamakan kedudukan pada minit ke-14 sebelum tonggak import, Timothy James Deavin, menambah gol kedua UniKL pada minit ke-42 menerusi gol padang.

Dua minit sebelum tamat permainan, Jeroen Dolf Hertzberger mengesahkan kemenangan UniKL dengan gol padang.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula tidak berdepan masalah menewaskan Maybank 5-1.


Jadual Ahad:

KLHC lwn TNB Thunderbolts, 5 ptg (Std Hoki Kuala Lumpur)

UniKL lwn THT, 6 ptg (Std Hoki Nasional 2, Bukit Jalil)

TNB lwn Maybank, 8.30 mlm (Std Hoki Nasional 2, Bukit Jalil)