Ketua jurulatih TNB Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, masih enggan menekan butang panik walaupun pasukannya belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Selepas lima perlawanan musim ini, pasukan itu hanya menduduki tangga ketujuh di atas pasukan tercorot, Nur Insafi-Kedah, yang turut gagal meraih sebarang mata.

Namun, Nor Azlan tidak melihat situasi itu sebagai sesuatu yang merisaukan kerana pasukannya hanya kurang bertuah walaupun beraksi baik dalam beberapa perlawanan lalu.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin, Thunderbolts nyaris mengikat Maybank sebelum tewas tipis 2-3.

"Mereka sudah berusaha, mereka memberikan komitmen 100 peratus.

"Jadi, sudah nampak perubahan dalam perlawanan itu.

"Tetapi kami memberikan lawan gol awal dan ia merencatkan permainan kami.

"Pada akhir perlawanan, kami mula mendominasi, cuma tidak dapat (menyudahkan) pukulan sudut penalti terakhir.

"Itulah yang membezakannya dalam perlawanan itu," katanya.

Thunderbolts turut berdepan masalah sama musim lalu, namun bangkit mencatatkan dua kemenangan dalam separuh kedua liga dengan salah satunya menumbangkan gergasi Pantai Timur, Terengganu Hoki Team (THT).

"Kami merupakan pasukan pembangunan.

"Selain memberikan pendedahan, kami akan cuba untuk mencuri mata daripada beberapa pasukan.

"Sebagai jurulatih, kami akan terus buat kerja untuk memperbaiki setiap kesilapan dan seterusnya mencari kemenangan pertama," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa