Jurulatih MBPJ Tigers, Hafizi Baharom, mengharapkan skuad mudanya dapat mengulangi pencapaian tahun lalu menjelang musim baru Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018 yang bermula dengan saingan Piala Tan Sri P. Alagendra.

Musim lalu, mereka menjuarai Liga Divisyen Satu Remaja selain mencipta kejutan mara ke separuh akhir kejohanan pembuka tirai itu.

Piala Tan Sri P. Alagendra yang membuka tirai esok menyaksikan Tigers bakal berhadapan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dalam pusingan pertama.

Mengakui belum mendapat gambaran sebenar kekuatan lawan kerana kali pertama mereka beraksi dalam LHM, Hafizi menjangkakan Terengganu membariskan beberapa tonggak daripada skuad Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Andai melepasi pusingan pertama itu, Tigers dijangka menentang pasukan Divisyen Perdana, UniKL, dalam suku akhir.

"Mereka merupakan pendatang baru, saya dapat tahu mereka dibarisi sebahagian besar pemain pasukan Sukma 2018 Terengganu.

"Ada beberapa perkara tentang mereka yang telah kami selidik ketika mereka menyertai kejohanan lapan penjuru di Johor Bahru, baru-baru ini," ujarnya.

Dalam masa itu, Hafizi yakin Tigers yang kekal menyandarkan harapan kepada pemain-pemain muda untuk memberi cabaran memburu kedudukan empat terbaik dalam saingan Liga Divisyen Satu.

Penambahan pasukan dalam saingan itu memberikan cabaran tersendiri buat Tigers.

Begitupun, Hafizi percaya Tigers yang dibarisi majoriti pemain daripada skuad juara Liga Remaja Kebangsaan tahun lalu dapat membuktikan kemampuan mereka.

"Kami mengekalkan sebahagian besar tonggak Liga Remaja Kebangsaan yang terdiri daripada pemain berusia 18 tahun.

"Mereka ini juga akan bermain dalam Liga Remaja Kebangsaan untuk musim depan, iaitu seramai 12 orang, selain mengekalkan lapan pemain sedia ada," katanya lagi.