Pengurus Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandez, mengesahkan bahawa lapan pasukan sudah mendaftar untuk Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 menjelang tarikh tutup berbuat demikian Jumaat lalu.

Senarai lapan pasukan itu menyaksikan tiada kelibat gergasi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), dengan menampilkan juara Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang akan turun selaku antara pasukan pilihan.

"Kami berharap akan ada lagi dua atau empat pasukan mendaftar kerana maksimum pasukan bertanding adalah 12. Kemungkinan tahun depan, divisyen 1 tidak dianjurkan lagi," katanya.

Ditanya mengenai tahap persaingan tanpa kehadiran KLHC, Fernandez berkata: " Kita tahu KLHC antara pasukan terbaik. Tetapi kami tidak tahu (persaingan) sehingga pertandingan itu dimulakan. Namun, kami merasai kehilangan KLHC."

Untuk rekod, KLHC sudah menjuarai liga sebanyak enam kali dan lima kali menjulang Piala TNB.

Pasukan LHM 2019

1. UniKL
2. THT
3. MAYBANK
4. TNB
5. TNB THUNDERBOLT
6. NUR INSAFI
7. PSHA-MSSPP-PENANG HOCKEY CLUB
8. UITM