LHM: KHM lantik pegawai pantau pemain tiada semangat kesukanan

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 192
LHM: KHM lantik pegawai pantau pemain tiada semangat kesukanan
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik beberapa pegawai bagi memantau pemain yang sengaja mencederakan pihak lawan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Ia selepas badan induk itu menerima aduan bahawa terdapat pasukan yang tidak mengamalkan semangat kesukanan dalam LHM.

Beberapa pegawai Jawatankuasa Pertandingan KHM sudah dilantik untuk memantau pemain yang bertindak kasar atau sengaja mencederakan pihak lawan dalam baki perlawanan musim ini.

Ia bagi mengelakkan insiden yang menimpa penyerang UniKL, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang patah rahang kanan gara-gara terkena bola pukulan pemain lawan, daripada berulang.

"Pegawai juga memainkan peranan dalam (menunjukkan) semangat kesukanan. Ia amat penting," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Kami tak nak (ia berlaku) kerana sebelum ini, kita tidak pernah dengar jeritan negatif seperti 'pecah kepala', 'pukul', ini semua tidak perlu ada dalam sukan ini.

"Kita bermain sebagai profesional dan demi rasa cinta terhadap sukan ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh, menambah: "Buat pemain, kami akan melihat sebaik mungkin dan akan (mengenakan tindakan) gantung dan sebagainya.

"Dan kepada jurulatih pula, jika terdapat perkara seperti ini, tolong laporkan supaya kami dapat melakukan siasatan dan menggantung (pesalah).

"Penggantungan itu tidak semestinya satu perlawanan, ia mungkin lebih daripada itu," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, penolong jurulatih skuad memanah negara, Wan Khalmizan Wan Abdul Aziz, terpaksa berehat sehingga April depan selepas menjalani pembedahan tulang pelvis.

Bekas pemanah kebangsaan itu ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke Majlis Sukan Negara (MSN|) semalam.

"Doktor kata ia mungkin (memerlukan) tiga bulan untuk pulih dengan sempurna.

"Tetapi ia bergantung kepada perkembangan tulang saya sama ada ia boleh bercantum balik.

"Jika tidak, saya mungkin perlu menjalani pembedahan kembali," katanya.


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen