Penyerang skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ashran Hamsani, menganggap jaringan sulungnya musim ini cukup bermakna kerana berjaya menewaskan penghalang utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB), 4-2 dalam saingan Liga hoki Malaysia (LHM), semalam.

Kemenangan itu memberikan peluang cerah untuk UniKL menjuarai saingan LHM musim ini.

Aksi cemerlang Ashran itu turut mendapat pujian pengendali UniKL, Arul Selvaraj, namun pemain itu berasakan kemenangan pasukannya lebih penting untuk diletakkan sebagai keutamaan.

"Alhamdulillah, kami berjaya meraih kemenangan.

"Bagi saya, kemenangan pasukan lebih penting berbanding siapa yang menjaringkan gol.

"Saya bangga dengan permainan dan semangat yang kami tunjukkan untuk meraih kemenangan," katanya.

Ashran kerap menjaringkan gol ketika diletakkan di posisi penyerang sepanjang musim lalu.

Namun, perubahan taktikal yang dilakukan jurulatihnya mengubah situasi itu musim ini.

"Ia merupakan sebahagian daripada strategi yang diterapkan jurulatih kami.

"Saya akan memberikan yang terbaik di setiap posisi yang diletakkan.

"Kejuaraan musim ini merupakan satu bonus buat kami.

"Apa yang penting, kami perlu fokus untuk menghadapi setiap perlawanan," tambahnya.