LHM: Kemenangan lonjak UniKL ke puncak liga

Oleh Staff Writer 29 Januari 2020 147
LHM: Kemenangan lonjak UniKL ke puncak liga
UNIKL 4 MAYBANK 2

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merampas takhta pendahulu Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Maybank dalam aksi keenam sebentar tadi.


Beraksi buat kali pertama di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, UniKL kembali diperkuatkan kelibat tonggak senior, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang beraksi dengan pelindung muka susulan pembedahan rahang yang dilaluinya sebelum ini.

Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu memberi impak tersendiri buat UniKL apabila dia menyumbang gol pertama menerusi jaringan padang pada minit ke-12.

Tuan rumah menggandakan jaringan sebelum tamat suku pertama apabila Faridzul Afiq Mohd mencatatkan nama selaku penjaring, juga menerusi gol padang.

Maybank mempamerkan kebangkitan dalam suku ketiga dan merapatkan jurang menerusi Meor Muhammad Azuan Hasan sebelum Muhammad Razie Abd Rahim menghadiahkan gol ketiga buat UniKL menerusi penalti strok pada minit ke-47.

Pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak cuba membangkitkan perjuangan Maybank, namun Roel Bovendeert memastikan tiga mata penuh buat UniKL dengan jaringan keempat pada minit terakhir permainan.

“Maybank memberikan tentangan yang cukup hebat kepada kami dan mereka bermain dengan begitu baik sekali tetapi hari ini kami dapat manfaatkan peluang yang diperoleh.

“Kehadiran semula Tengku Ahmad Tajuddin berikan semangat luar biasa kepada UniKL dan saya gembira dia dapat temui sentuhan jaringan,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

“Dia kembali beraksi dengan menggunakan pelindung kepala dan memberitahu sebelum perlawanan dia telah terlalu lama berehat dan komitmennya adalah sesuatu yang boleh diikuti setiap pemain dalam pasukan.”

Hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula untuk mengekalkan rekod kemenangan tidak kesampaian apabila terikat 1-1 dengan UiTM.

Selepas aksi perlahan ditampilkan dalam suku pertama, UiTM memecah kebuntuan apabila Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

TNB yang dikendalikan oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil dengan aksi lebih baik dalam suku ketiga dan hasilnya mereka memperoleh jaringan penyamaan menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Aminudin Mohd Zain tetapi keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan corak serta struktur permainan yang ditampilkan oleh pasukan TNB dalam aksi menentang UiTM ini.

“Begitupun kami dikecewakan dengan penyudah yang kurang menjadi dan terpaksa meraih satu mata,” jelas Nor Saiful.



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen