Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin, masih tidak berpuas hati dengan prestasi segelintir pemain kebangsaan dalam skuadnya di sebalik meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas membenam Maybank 2-0 petang tadi.

Anak buah Nor Saiful itu mengidamkan tiga mata bagi melebarkan jurang mereka dengan pencabar, Maybank, dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang berkongsi mata dengan hanya dipisahkan perbezaan jaringan.

Namun, gol yang dicari-cari hanya mula menjelma dalam suku kedua permainan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke 22.

Tujuh minit kemudian, Arif Syafiee Ishak melebarkan jurang buat TNB dengan turut menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Selepas itu, permainan TNB mula lesu sehingga gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang sambil Maybank pula perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Aidil Md Shah, kerana menepis beberapa percubaan lawan untuk mengelak mereka dibolosi dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

"Ia bukan permulaan bagus, saya tidak cakap begitu. Kami meraih sembilan mata. Permulaan bagus bermaksud kami tampil dengan persembahan baik, ada corak permainan. Dua gol saya tidak kisah tetapi saya rasa persembahan kami patut lebih bagus," kata Nor Saiful.

"Tidak menjadi kerisauan buat saya tentang perlawanan ini kerana anak buah saya dapat memberi tentangan kepada lawan yang dibarisi 13 pemain kebangsaan. Majoriti dalam pasukan saya adalah pemain muda, jadi saya bangga," ujar pengendali Maybank, Azrul Effendy Bistamam.



Editor: Nafis Abdullah