Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengumumkan nasib Hockademy KL dalam sidang media, esok, selepas Jawatankuasa Teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM) bersidang ekoran dakwaan kelab itu belum menjadi ahli gabungan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) ketika mengesahkan penyertaan liga.

Pengarah Kejohanan LHM, K Ananthavale, menjelaskan bahawa kata putus itu dicapai dalam mesyuarat di Pejabat KHM, Bukit Jalil, hari ini.

Ia susulan bantahan Persatuan Hoki Terengganu yang mahu KHM meneliti kesahihan status Hockademy KL sebagai ahli gabungan KLHA ketika mengesahkan penyertaan liga, 7 November tahun lalu.

KHM menghantar surat tunjuk sebab kepada persatuan dan Presiden KLHA, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin, sudah membalas dakwaan itu.

Isu ini dirujuk kepada Peraturan LHM Perkara 5.1.

"Kami juga telah siasat kesemua pasukan (yang bertanding) membabitkan fail termasuk pertandingan lelaki dan wanita dalam kejohanan ini.

"Ketika ini, kami tidak mengatakan sesuatu kemudian pengerusi Jawatankuasa Teknikal LHM (Datuk Seri Anil Jeet Singh) pula akan berkata perkara yang berlainan.

"Jadi langkah terbaik ialah menunggunya untuk membuat kenyataan akhbar," kata Ananthavale kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.