Pelari pertama skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Najmi Farizal Jazlan, wajar diberikan pujian selepas menghalang lima daripada enam pukulan sudut penalti lawan ketika membantu kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, semalam.

Pakar pukulan sudut penalti THT, Jang Jong-hyun, bergelut untuk merobek pintu gol UniKL.

Pendahulu penjaring terbanyak LHM itu terpaksa menunggu sehingga gerakan terakhir untuk menjaringkan gol tunggal THT walaupun dia tidak berdepan masalah untuk melaksanakan tugas itu sebelum ini.

Ia berpunca daripada kepantasan Najmi yang bertindak selaku pelari pertama UniKL.

"Saya hanya memberikan yang terbaik memandangkan perlawanan ini akan menentukan kedudukan kami di puncak liga.

"Saya memberikan aksi 100 peratus seperti yang diinginkan jurulatih," kata Najmi.

"Pertahanan UniKL melaksanakan tugas dengan baik.

"Mereka membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini bagi menghalang pukulan sudut penalti kami.

"Saya kecewa tetapi peluang kami masih ada," kata Jong-hyun.

Prestasi Najmi juga sepatutnya membuka mata pengendali negara, Roelant Oltmans, untuk memanggil semula pemain itu dalam skuad kebangsaan menjelang Piala Sultan Azlan Shah (Mac) dan Final Siri Hoki Dunia (April).