Pemain tengah skuad Nur Insafi, Jiwa Mohan, yakin masih mampu menyelesaikan isu yang membabitkan dirinya dengan baik walaupun bakal dihadapkan ke Lembaga Disiplin, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam masa dua minggu.

Sebelum ini, Jiwa dipanggil ke sesi pendengaran Jawatankuasa Teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM) berhubung kenyataannya yang membabitkan kejatuhan jumlah pasukan mengambil bahagian bagi tahun 2019, namun dia gagal menghadirkan diri ke sesi tersebut.

Jiwa berharap pihak KHM dapat memberi peluang sekali lagi untuknya memberi penjelasan selain menganggap akhbar tempatan yang melaporkan kenyataan tersebut menyebabkan kekeliruan sehingga menimbulkan salah faham.

Dia juga menambah tidak adil baginya jika pihak KHM memutuskan untuk membawa kes itu ke Lembaga Disiplin apabila perkara tersebut tidak dimaklumkan kepadanya sehingga pagi tadi.

"Saya difahamkan KHM telah diberitahu bahawa semalam merupakan cuti umum dan diminta memberikan pertimbangan. Jadi, kami cuba mendapatkan proses pendengaran semula," katanya.

Bagaimanapun, Jiwa masih tenang menghadapi masalah tersebut dan menegaskan ia juga tidak memberi kesan terhadap prestasinya yang perlu dpersembahkan dalam perlawanan di antara Nur Insafi dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tiga hari lagi.

"Saya akan memberikan kerjasama yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini kerana sebagai pemain, saya ingin membantu dan menaikkan sukan hoki Malaysia. Itu harapan saya."