Pemain tengah pasukan hoki Nur Insafi, Jiwa Mohan, mengakui baru dimaklumkan tentang isu yang membabitkannya selain meminta pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) supaya mempertimbangkan semula tuntutan yang memintanya hadir ke sesi pendengaran Jawatankuasa Teknikal, Liga Hoki Malaysia (LHM).

Jiwa gagal menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Teknikal LHM semalam berhubung kenyataan berunsur negatif mengenai jumlah pasukan dalam liga musim ini yang dianggap terlalu kecil.

Dia mempertahankan ia tidak bermaksud untuk mengkritik LHM, malah menganggap wujud salah faham di antara kenyataan yang diberikan dan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar tempatan.

Namun, jika kes itu dibawa ke Lembaga Disiplin KHM sekalipun, bekas pemain kebangsaan itu masih mahu mengambil peluang ini sebagai platfrom untuknya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

"Memandangkan semalam adalah hari cuti umum (Hari Thaipusam), jadi saya meminta penangguhan berhubung sesi pendengaran dengan Jawatankuasa Teknikal LHM.

"Saya hanya mengetahui arahan itu pagi ini," katanya.

Bagaimanapun, Jiwa menyatakan dia masih tenang untuk menghadapi kemelut itu dan ia tidak akan memberi kesan terhadap prestasinya dalam pertemuan di antara Nur Insafi dan UniKL, tiga hari lagi.

"Wujud sedikit salah faham mengenai hal ini. Kami perlu duduk semeja dan selesaikannya dengan baik.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk menyelesaikan isu ini.

"Sebagai pemain, saya ingin membantu membangunkan taraf hoki Malaysia.

"Itulah harapan saya," katanya lagi.