Lembaga Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menjatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan terhadap pemain tengah Nur Insafi, Jiwa Mohan, yang berkuat kuasa serta-merta ekoran mengkritik penganjuran Liga Hoki Malaysia (LHM) dalam sebuah akhbar tempatan.

Jiwa adalah pemain pertama yang dikenakan tindakan disiplin oleh KHM dalam tempoh empat tahun selepas Faizal Saari dan Syamim Yusof

Dia didakwa memberi keterangan yang bertentangan dengan KHM apabila mengatakan penganjuran LHM semakin mengecewakan.

Jawatankuasa Disiplin dipengerusikan Jagadish Chandra serta dua lagi panel yang membabitkan bekas pemain kebangsaan dan langkah itu membuktikan KHM benar-benar serius dalam melindungi reputasi LHM.

Bagaimanapun, Jiwa dalam kenyataannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dan penggantungannya akan bermula bagi aksi menentang Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Kuala Lumpur, esok.

Pengendali UniKL, Arul Selvaraj, yang juga berdepan tuduhan yang sama, bagaimanapun dilepaskan dan hanya diberikan amaran keras.