Pasukan Hoki Terengganu (THT) enggan mengambil mudah kemampuan skuad Nur Insafi menjelang aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Jurulatihnya, I. Vikneswaran, berkata Nur Insafi dibarisi pemain 'serba tahu' dan berpengalaman meskipun menduduki tangga tercorot selepas dua perlawanan.

Antaranya, bekas pemain negara, Ismail Abu dan Jiwa Mohan, bekas penyerang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Syamim Mohd Yusof, serta pemain tengah kebangsaan, Joel van Huizen.

Menurut Vikneswaran, skuadnya dibelenggu kecederaan yang menimpa Mohd Firdaus Omar dan terkini, Gonzalo Merino, manakala Ammad Shakeel Butt pula baru saja tiba.

"Kami perlu merancang sesuatu dan fokus kepada taktikal untuk meneruskan momentum kemenangan," ujarnya.

Vikneswaran juga menyifatkan THT tidak boleh bergantung hanya kepada satu atau dua ayam tambatan, sebaliknya semua pemain perlu berfungsi sebagai penjaring.

"Sebelum ini, kami mengharapkan skil individu tetapi kini rentak permainan menunjukkan lebih banyak gerakan berpasukan," katanya.

THT berpeluang ke kedudukan teratas liga jika mengatasi Nur Insafi sambil mengharapkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tumpas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL).