Penyerang pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, bersedia meneruskan rentak cemerlang dan berhasrat menambah koleksi jaringan peribadi dalam baki tiga perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM), musim ini.

Pasukan kendalian jurulatih, Arul Selvaraj, itu kini semakin mendekati gelaran juara buat julung kalinya apabila menerajui carta kedudukan LHM dengan mengumpul 25 mata hasil daripada lapan kemenangan dan satu seri.

Izwan, yang juga bekas penyerang negara, sudah menjaringkan empat gol dalam kempen Liga Divisyen Perdana musim ini.

Penyerang berusia 30 tahun itu berkata dia bersedia untuk memulakan aksi di 'rumah keduanya', iaitu Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, menentang pasukan Nur Insafi, Ahad ini.

"Musim ini, saya bermula agak perlahan dan kini mula menemui sentuhan jaringan dalam empat perlawanan terakhir. Ia satu situasi yang melegakan saya.

"Walaupun saya perlu ambil sedikit masa untuk benar-benar berada dalam bentuk fizikal terbaik, namun saya tetap gembira dengan prestasi semasa saya.

"UniKL semakin hampir untuk menjulang mahkota sulung Liga Divisyen Perdana tetapi kami tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya kami perlu menang baki tiga perlawanan lagi," katanya yang mengakui musim ini merupakan satu musim yang hebat buatnya.

Selepas aksi menentang Nur Insafi, UniKL dijadualkan membuat perhitungan dengan Maybank, 20 Februari ini, dan menamatkan kempen liga menentang TNB Thunderbolts dua hari berikutnya, masing-masing di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

Untuk rekod, TNB menghuni tangga kedua dengan 21 mata, diikuti Terengganu Hockey Team (THT) dan Maybank, masing-masing dengan 16 dan 15 mata.

-- BERNAMA