THT 4 MAYBANK 1

Jang Jonghyun meledak hatrik keduanya dalam tempoh dua hari untuk membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membenam Maybank 4-1 dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) di Kuala Terengganu hari ini.


Masih segar dengan tiga jaringan ketika mengatasi Hockademy KL kelmarin, Jonghyun, 36, menamatkan pusingan pertama LHM dengan 12 gol selepas menyudahkan dua pukulan sudut penalti dan satu pukulan penalti.

Kemenangan itu merapatkan kedudukan THT dengan pasukan di tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang tumpas 0-1 kepada pendahulu liga, UniKL.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Batu Buruk itu, Jonghyun terpaksa menanti sehingga minit ke-22 untuk meletakkan THT mendahului satu gol.

Ketangkasan penjaga gol Maybank, Zaimi Mat Deris, kemudian menafikan pukulan Faizal Saari (m-28) yang membuat larian solo dari tengah padang.

Memasuki minit ke-41, THT, yang mendominasi permainan sejak wisel permulaan, dikejutkan dengan gol penyamaan pelawat hasil pukulan sudut penalti Nur Asyraf Ishak.

Dua pukulan sudut penalti Jonghyun selepas itu diselamatkan Zaimi, sekali gus menambah tekanan buat THT di depan penyokong sendiri.

Serangan bertali arus THT membuahkan hasil apabila dihadiahkan pukulan penalti yang tidak disia-siakan Jonghyun pada minit ke-43.

THT membunuh perjuangan Maybank selepas Jonghyun melengkapkan hatrik pada minit ke-48, disusuli jaringan padang Rashid Baharom (m-53) untuk melengkapkan kemenangan 4-1.

"Ini merupakan permainan terbaik THT sejak aksi pembuka tirai LHM.

"Kami menguasai rentak tetapi dicemaskan pasukan lawan yang hanya ada satu peluang dan menjaringkan satu gol.

"Itu yang menjadi masalah dan punca dua kekalahan THT dalam saingan liga musim ini," kata pengendalinya, Dhaarma Raj Abdullah.



Editor: Muzaffar Musa