Penjaring terbanyak skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Firhan Ashaari, mengetepikan hasrat memburu rekod kemenangan terbesar musim ini apabila berdepan Nur Insafi esok kerana tumpuan utama ialah merampas takhta Liga Hoki Malaysia (LHM).

Menjelang aksi esok, TNB akan menjadi pilihan di Stadium Hoki Kuala Lumpur selepas membelasah Nur Insafi 10-0 bulan lalu dan ia muncul rekod kemenangan terbesar LHM 2019, sekali gus menyaksikan pasukan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu mendahului jumlah jaringan dengan 35 gol.

Apa yang penting ialah mengekalkan rentak kemenangan kerana TNB hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Bagi saya, kami hanya perlu kumpulkan mata penuh. Jaringan itu datang selepas permainan bagus dipamerkan. Kami utamakan tiga mata," kata Firhan.

Firhan muncul penjaring ketiga terbanyak LHM dengan tujuh gol, ketinggalan lima gol berbanding pakar pukulan sudut penalti Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong Hyun.

Selain Firhan, TNB juga dibarisi pemain berbisa lain seperti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Norsyafiq Sumantri dan Muhammad Akhimullah Anuar Esook.

"Untuk perlawanan esok, permainan mungkin akan sedikit berubah. Mungkin Nur Insafi lebih banyak bertahan agar gawang mereka tidak bocor seperti sebelum ini," ujar Akhimullah.

"Setiap perlawanan yang kami lalui, kami meraih peluang terbuka, terutama dalam suku pertama. Jika empat atau lima peluang, hanya satu jaringan dihasilkan, jadi kami mahu perbaiki aspek tersebut. Namun, kami tidak beanr-benar menyasarkan jaringan besar," tambah Nor Saiful.