Penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, perlu mengekalkan sentuhan pemusnahnya demi memastikan kebangkitan pasukan Rabu ini selepas muncul sebagai pendahulu senarai penjaring Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan lapan gol.

Pasukan dari Pantai Timur itu menerima tamparan hebat apabila tumbang 2-4 kepada TNB minggu lalu.

Ia sesuatu yang janggal buat pasukan yang kini dikemudi oleh Dhaarma Raj Abdullah itu memandangkan mereka acap kali memulakan kempen dengan baik.

"Persiapan kami mungkin agak lambat dan kami juga bermula dengan perlahan.

"Kami masih mencari rentak dan selepas tewas dua kali dalam lima perlawanan awal, kami perlu bangkit untuk memburu kejuaraan liga.

"Memang dari dulu lagi saya gemar menjaringkan gol tetapi saya juga mengharapkan bantuan daripada rakan sepasukan dan dalam masa yang sama, pasukan tidak terlalu bergantung kepada pemain senior sahaja.

"Pemain muda perlu perbaiki prestasi dan tunjukkan sesuatu kepada jurulatih," katanya dalam sesi latihan di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, petang tadi.

THT bakal berdepan Hockademy KL, Rabu ini, sebagai langkah kebangkitan, disusuli pertemuan dengan Maybank hujung minggu depan.



Editor: Shaiful Shamsudin