Penyerang berbisa, Faizal Saari, yakin Pasukan Hoki Terengganu (THT) mampu mengekalkan rentak kemenangan dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) bertemu Maybank di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam ini.

Menyifatkan prestasi THT semakin baik, Faizal berkata tiada masalah untuk mereka mendapatkan tiga mata sekiranya meneruskan corak permainan seperti tiga aksi sebelum ini.

"Kami tidak boleh ambil mudah mana-mana pasukan kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri.

"Cuma main seperti biasa dan tiada masalah untuk mengalahkan Maybank," jelasnya yang baru menjaringkan dua gol musim ini.

Sementara itu, jurulatih THT, I. Vikneswaran, turut senada dengan tonggak pasukannya itu sambil melabel Maybank sebuah pasukan yang berkualiti.

Menurutnya, skuad kendalian Azrul Affendi Bistaman itu memiliki kekuatan di bahagian tengah serta gemar melakukan serangan balas yang berbahaya.

"Seperti THT, Maybank juga sudah banyak menunjukkan peningkatan dan muncul salah satu pesaing dalam liga.

"Saya sedang merencanakan sesuatu untuk menggunakan kekuatan pasukan bagi menghadapi Maybank," kata Vikneswaran.