UNIKL 2 TNB THUNDERBOLTS 0

Jurulatih skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, gembira dengan sikap pemain yang melengkapkan perlawanan terakhir musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas TNB Thunderbolts biarpun hasrat menjulang trofi Liga Hoki Malaysia (LHM) pada penghujumngnya tidak kesampaian.


Sikap profesional pasukan juara LHM 2019 itu wajar diberi pujian dalam perlawanan terakhir di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, hari ini.

Mereka mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dengan kemenangan walaupun hasrat menjulang piala LHM di depan penyokong sendiri tertangguh.

Pemain pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim, meledak gol pembukaan seawal minit keenam sebelum penyerang UniKL, Mohd Ashran Hamsani, melebarkan kedudukan pada minit ke-48.

Thunderbolts cuba mengasak pada hujung permainan, namun sukar menembusi gawang UniKL.

"Ada dua kejohanan untuk diraikan.

"Satu adalah Piala TNB dan satu lagi adalah LHM.

"Apabila ada dua kejohanan, dua publisiti dan dua keraian, ia sepatutnya lebih bagus untuk sukan hoki kerana lebih ramai akan menyedari tentang kejohanan hoki tempatan.

"Lebih banyak publisiti lebih baik untuk sukan hoki," kata Arul.

Terdahulu, hasrat UniKL untuk menjulang trofi LHM dalam perlawanan terakhir hari ini tidak kesampaian selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk menyerahkan semua trofi secara serentak selepas final Piala TNB, 2 Mac ini.

Keputusan lain:
UiTM 2-2 Maybank
TNB 3-5 THT