Azrul Affendi Bistaman mengambil tindakan drastik dalam penampilan sulung sebagai pengendali Maybank dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila mengambil 11 pemain muda menjelang saingan yang bermula Khamis ini.

Azrul tidak terburu-buru mengejar trofi dalam penampilan sulung sebagai jurulatih Maybank.

Beliau merancang pelan tiga tahun dengan menggabungkan pemain muda dan senior.

Pilihan lebih banyak apabila Maybank adalah antara tiga pasukan yang tidak menggunakan khidmat pemain import.

"Sebelum ini, saya mengendalikan pasukan negeri Melaka selama tiga tahun dan kini bersama pasukan kelab Maybank sebagai penolong ketua jurulatih.

"Ini merupakan satu pengalaman yang bagus untuk saya dengan pihak pengurusan meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik," katanya.

Kali terakhir Maybank menjulang trofi ialah 24 tahun lalu menerusi kejuaraan liga.

Tugas menjaringkan gol akan digalas bekas pakar pukulan sudut penalti Skuad Projek 2016 dan dua pemain kebangsaan.

"Saya akan mengunakan perlawanan demi perlawanan untuk mendapatkan sentuhan terbaik," kata pertahanan Maybank, Zulkifli Awang Abang.

"Maybank mempunyai pelan perancangan baru selama tiga tahun dan kami meletakkan sasaran kejuaraan trofi pada tahun 2020," kata penyerang Maybank, Mohd Haziq Shamsul.