Lelaki Kebangsaan B-16: Perak juara kali ketiga

Oleh Azizan Hashim 24 Ogos 2019 1101
Lelaki Kebangsaan B-16: Perak juara kali ketiga
Perak mempertahankan gelaran juara Kejohanan Hoki Lelaki Kebangsaan B-16 buat tahun ketiga berturut-turut selepas membaham Selangor 5-0 dalam perlawanan akhir, petang tadi.

Jangkaan perlawanan akhir di Stadium Wisma Belia Kuantan itu akan berlangsung sengit meleset apabila Selangor gagal memberi saingan.

Kecuali memberi tentangan dalam suku pertama, Selangor gagal menyekat jentera serangan juara bertahan itu, terutama Muhammad Amirul Haniff Mamat yang menyumbang empat gol untuk dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol selain memenangi Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Malah, anak buah Hairul Nizam Abd Rani turut menyapu bersih anugerah dalam kejohanan itu apabila Muhammad Rusyaidi Mohammad Rizal memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Selepas terikat 0-0 dalam suku pertama, Perak mula merobek kubu lawan seminit saingan suku kedua berlangsung apabila Amirul memecah kubu lawan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Kapten Perak itu mengukuhkan kedudukan melalui jaringan padang 10 minit kemudian untuk pasukannya mendahului 2-0 ketika rehat.

Skrip babak seterusnya juga sama dengan Perak terus menguasai permainan dan penyerang itu menambah dua gol pada minit ke-32 dan 40 sebelum Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar melengkapkan kemenangan bergaya Perak dengan gol kelima pada minit ke-52.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen