Penjaga gol skuad hoki negara, S, Kumar, tidak melatah dengan perancangan ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans, menggugurkan beberapa pemain senior untuk menghadapi musim ini kerana dia bakal mengumumkan statusnya bersama The Speedy Tigers bulan depan.

Kumar, 41, merupakan pemain hoki kedua tertua di dunia selepas penjaga gol Argentina, Juan Vivaldi.

Dia sudah beberapa kali mahu meninggalkan skuad negara tetapi diminta oleh pengendali untuk terus kekal kerana barisan pelapis belum cukup bersedia.

Penjaga gol kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu sudah beraksi dalam semua kejohanan utama dunia kecuali Sukan Olimpik dan selepas gagal melepasi playoff kelayakan temasya itu London, England, tahun lalu, dia bercadang membuat satu pengumuman bulan depan.

"Kadangkala kami kena tahu, ada peluang untuk main atau tidak. Jadi, buat masa sekarang, saya perlu fokus dengan saingan liga tempatan bersama kelab. Selepas itu, saya akan buat keputusan. Sebagai seorang pemain, saya telah berikan yang terbaik dan berkorban untuk pasukan negara," katanya.

"Untuk jangka masa panjang, memang penting untuk senaraikan pemain muda. Memang sasaran mereka mahu layak ke Sukan Olimpik serta Piala Dunia. Kalau ia memberi kebaikan, saya rasa ia satu cadangan yang bagus."

Ketika ini, Kumar beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pasukannya kini mengungguli takhta liga selepas memenangi kesemua lima perlawanan awal tatkala dia hanya melepaskan empat gol.



Editor: Nafis Abdullah