Kumar perlu berjuang rebut tempat 

Oleh Staff Writer 26 April 2018 605
Kumar perlu berjuang rebut tempat 
Tiada jalan pintas buat penjaga gol, S. Kumar, dalam usaha merampas kembali tempatnya dalam skuad hoki negara menjelang aksi persahabatan menentang juara Sukan Olimpik 2016, Argentina, bulan depan kerana Malaysia juga memiliki dua lagi penjaga gol berkualiti. 

Kumar sedang berjuang dengan masa untuk mendapatkan semula prestasi terbaik selepas menamatkan penggantungan enam bulan ekoran positif doping.

Penjaga gol kelahiran Tampin, Negeri Sembilan, itu perlu bersaing dengan Mohd Hafizuddin Othman dan Hairi Abd Rahman yang mempamerkan aksi meyakinkan ketika Malaysia meraih tangga kelima dalam temasya Gold Coast 2018, 4-15 April lalu. 

Saingan makin sengit apabila bekas penjaga gawang skuad projek 2016, Muhammad Zaimi Mat Deris, turut berada dalam kem kebangsaan. 

"Selama ini, saya ada melakukan latihan fizikal di gimnasium tetapi peranan penjaga gol hoki ini berbeza. 

"Saya perlu memakai kelengkapan yang berat dan membiasakan diri dalam tempoh dua minggu ini. 

"Setakat dua hari kembali menyertai latihan, saya yakin akan kembali menemui sentuhan, cuma bukan mudah untuk menyertai jelajah ke Argentina. 

"Saya perlu mendapatkan rentak di atas padang," katanya. 

Pengendali skuad negara, Stephen Van Huizen, berkata tiada laluan mudah buat Kumar sambil berharap pemain itu terus bersemangat untuk merebut peluang. 

"Kami sentiasa mencuba pemain dan kombinasi baru, memberi peluang kepada pemain yang jarang beraksi untuk membuktikan kemampuan. 

"Semua pemain diberi peluang sama rata untuk membuktikan kemampuan dan kami sering mengetengahkan muka baru," kata Van Huizen. 

Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, bulan lalu menyaksikan Malaysia menewaskan Argentina 2-1 di peringkat liga sebelum tumbang 3-2 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. 

Siri aksi persahabatan di Buenos Aires nanti penting sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia Ogos depan, dengan pemenang pingat emas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen